SPR pamer 42,051 nama pemilih berdaftar meragukan


Sumber Berita: Malaysiakini

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mempamerkan senarai 42,051 nama pemilih berdaftar yang rekodnya meragukan mulai esok hingga 31 Disember ini.

Setiausahanya, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria, berkata senarai nama itu akan dipamer melalui laman web SPR dan laman web pejabat-pejabat pilihan raya negeri di seluruh negara.

Beliau berkata, langkah itu bagi membolehkan pemilih berkenaan atau waris kepada nama-nama yang dipamer tampil membuat pengesahan berhubung status rekod pemilih mereka.

“Jika nama pemilih itu ada dalam senarai berkenaan, maka beliau perlu hadir ke Jabatan Pendaftaran Negara terlebih dahulu untuk mengenalpasti masalah berhubung rekod nombor kad pengenalannya sebelum merujuk kepada SPR untuk urusan berkaitan dengan pendaftaran pemilihnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, laman web SPR ialah http://www.spr.gov.my dan sebarang pertanyaan boleh menghubungi Ibu Pejabat SPR di talian 03-8885 6565 atau melalui faks 03-8888 9112 atau menghubungi pejabat-pejabat pilihan raya negeri.